29 Sept - Satu taklimat tentang Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( PIPP ) teras yang ke dua telah diadakan di Bilik Gerakan SK Serom 3 pada hari ini. Taklimat PIPP teras ke-2 , Pembangunan Modal Insan ini telah disampaikan oleh Guru Besar SK Parit Jawa, YM Raja Naguib Bin Raja Ali. Taklimat ini disampaikan kepada semua guru SK Serom 3 untuk memberi penerangan yang berguna dalam melaksanakan Pembangunan Modal Insan yang merupakan salah satu teras yang penting dalam PIPP negara ini. Taklimat ini telah berlangsung selama 3 jam yang merangkumi strategi pelaksanaan teras ke-2 PIPP yang dihurai secara terperinci oleh penceramah.
17 Sept - Majlis penutup bulan kemerdekaan negara ke 50 peringkat sekolah telah diadakan di tapak perhimpunan sekolah pada hari ini. Dalam majlis yang berlangsung dengan meriah ini, beberapa lagu patriotik dan lagu tema kemerdekaan ke-50 telah dinyanyikan oleh murid-murid SK Serom 3. Sebelum itu, majlis terlebih dahulu dimulakan dengan penyampaian hadiah kepada murid yang memenangi beberapa pertandingan yang telah dijalankan dalam bulan kemerdekaan kali ini. Antaranya pertandingan kelas tercantik bertemakan kemerdekaan, pertandingan melukis poster kemerdekaan dan pelbagai lagi. Majlis penutupan ini dirasmikan oleh Tuan Guru Besar SK Serom 3.
8 Sept - Sempena sambutan kemerdekaan negara yang ke-50 Sk Serom 3 telah menganjurkan acara basikalthon merdeka untuk mengisi program sambutan kemerdekaan peringkat sekolah. Acara ini bertujuan meningkatkan semangat patriotisme dikalangan warga Sk Serom 3. Sambutan yang menggalakkan diterima dari murid-murid Sk Serom 3 yang bersemangat untuk bersama-sama menyertai acara basikalthon ini. Mereka menghiasi basikal masing-masing dengan bendera jalur gemilang. Seramai 40 orang murid telah mengambil bahagian dalam acara ini yang bermula dari Sk Serom 3 menuju ke Kampung Kolam sejauh 10 km. Dalam perjalanan , rombongan ini turut berhenti di SK Belemang untuk membuat lawatan ke sekolah tersebut.

3 Sept - Seramai 98 calon dari SK Serom 3 mula menduduki peperiksaan UPSR pada hari ini. Peperiksaan UPSR yang bermula pada hari ini akan berakhir pada 5 September. Setiap calon yang menghadapi UPSR telebih dahulu diberi sarapan pagi oleh pihak sekolah supaya mereka dapat menjawab peperiksaan dalam keadaan yang selesa.
